Posts filed under 'Antologi Puisi Indera Episod 2'




Kembara Semusim

Kita pengembara semusim,

Bekas pasir bertabur debu,

Jejak-jejak awan kelabu.

Kita pedagang getir usang,

Hilang sekejap di ufuk mentari,

Dan waktu terang malap bintang.

Kita saudagar miskin hina,

Lena diselimut segunung istana,

Tidur beralas papan cendana.

Katakanlah: “Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.”
(Al-Jumu’ah [62]:8)

Emil Azhar,

National University of Ireland, Galway.

Add comment September 13, 2009

Suara Si Rama-rama

salam. sajak ini kutulis sewaktu di MRSM Taiping dahulu. asalnya sajak ini dalam bahasa inggeris berjudul “Butterflies’ Voice” ada dalam ruangan Antologi Puisi Indera Episod 2 di blog ini. bila dialihbahasakan, sajak ini kelihatan sedikit pelik tetapi menarik…

Suara Si Rama-rama

Sewaktu lembut sayap rama-rama hinggap di kelopak mawar,

coraknya bergemerlapan di antara cemerlang cahaya embun,

menarik penyaksian indera

memantulkan gerimis keajaiban.

Melihat telus akal hati,

pesona si rama-rama menyelit di celah-celah merah dan gelap.

Selubung kesedihan di sebalik litupan rupa,

guguran air mata menjerit hening.

Kecantikan dan kecerahan tumpah,

tatkala kesempitan menerjah

menari dengan cermat

bersama kilatan pencak

dan sinaran menghias singgahsana.

Metamorfosis melukiskan

perjalanan singkat

selagaknya perhentian

pelabuhan menuju destinasi baru,

yang berdiri

selamanya.

Emil Azhar,

National University of Ireland.

Add comment Januari 13, 2009

Taman Insani

Merah warna kelopak jernih

pelukan angin pagi

jalur nipis mentari

adalah darah suci bonda

adalah seru kasih ayahanda.

Setangkai madu yang terbit dari kuntuman ini;

menitik-nitik

adalah manisan dari syurga

adalah bayang-bayang ihsan dari-Nya.

Dia yang tidak pernah lupa

menyiram baja di taman ini

menabur air di akar sari

menanam budi

menyemai tani.

Haruman yang terbit dari wilayah ini

adalah kuntum-kuntum penderitaan

bercambah dari akar kesabaran

yang tidak mengerti keluhan

ataupun kesalan.

Air mata begitu murah

untuk dibayar dengan senyuman

yang tidak lekang,

Terasa bersatu di segenap ruang

sehingga terasa kejap kakiku

menapak di tanah ini

seolah dipaut erat

dari bawah bumi.

Sesungguhnya kasih sayang

benar-benar terasa sangat bermakna

apabila merasa perlu

dan diperlukan.

Selamat Hari Lahir Ibu,

10 September 2008.

Add comment Oktober 18, 2008

Sonata Cinta Rasul

Cintanya Hawa pada Adam, moyangku;

bekurun lamanya terpisah,

di Bukit Tursina bertemu,

menganyam susur galur kisah.

 

Kasihnya Hajar pada Ibrahim, datukku;

demi restu-Nya rela berserah,

antara Safwa dan Marwah berlari memijak kerikil batu,

menyemai tamadun kota Mekah.

 

Sayangnya Khadijah pada Muhammad, bapaku;

demi tertegaknya panji Islam,

“gadaikanlah tulang-belulangku sesudah terpisah jasad dan rohku,

daku relakan seandainya tubuhku ini menjadi tukaran dirham.”

 

Dapatkah aku cari cinta seagung sehebat ini

biarpun dijanjikan seribu bidadari di syurga nanti?

 

Emil Azhar

3 comments Mei 12, 2008

Janji Tuhan

Janji Tuhan

pasti akan datang,

sampai masanya

pasti akan menjelang.

 

Tentang kekalahan

tersirat kemenangan,

tentang kesusahan

terlindung kesenangan,

tentang kekalutan

terpateri kedamaian.

 

Darah yang gugur di medan ini

tidak akan terhenti,

merahnya masih subur di hati;

di sisi-Nya, abadi.

 

Emil Azhar

Add comment Mei 12, 2008

Kalimah Pertama

Bisikkan kalimah itu ke telingaku

agar dapat aku mendengarnya.

 

Bisikkan kalimah sakti itu

agar dapat aku menghayatinya.

 

Dengarkan panggilan ini

dari bibirku

kulafazkan ke pendengaranmu.

 

“Ayah!”

 

Aku mengerti kini

betapa

kasihmu

murni.

 

Buat Shafiq Irfan

10 Mei 2008.

Add comment Mei 10, 2008

Si Kunang-kunang

Si Kunang-kunang

Kelip-kelip terlepas lari,

bertempiaran pergi tak tentu talanya,

dikata intan disangkal baiduri,

andai baiduri tunjukkan kilaunya.

 

Kelip-kelip basah sayap,

berteduh sebentar di pohon ara,

sudah puas aku meratap,

menunggu bulan jatuh ke riba.

 

Kelip-kelip indah nian,

wangi lagi cempaka sari,

bila dikenang hati tertawan,

rindu ditanggung tidak terperi.

 

Kelip-kelip cerah bersakti,

pancaran jingga menghias laman,

sedang aur masih bertali,

mengapa dibilang bintang di awan?

 

Kelip-kelip makhluk misteri,

bertandang ke rumah disangka jembalang,

cinta yang kudus pada Illahi,

sayang manusia tetap kan pulang.

1 comment Mei 2, 2008

Di Bawah Lembayung Ini

Kita berbumbungkan langit yang sama

menghirup udara serupa

walau berpijak di bumi berbeza

(rumput di bumi ini malar saja,

segar hijau nyata!)

Add comment Mei 1, 2008

Leteran Bonda

Leteran bonda (Untuk kakakku yang kerap dileteri ibu)

Leteran bonda

berzapin lagi;

waktu berlaga tudung periuk

“Anak dara kalau selalu menyanyi di dapur

nanti bersuami lelaki tua.”

zahirnya panas gunung berapi

batinnya sedingin salji.

Leteran bonda

berdikir lagi;

tika menanak nasi

“Yang kau masak ini lembik

apa kau mahu buat bubur?”

di bawah telapak kakinya

diamnya syurga

setitis air matanya

menempah neraka.

Leteran bonda

bergamelan lagi;

masa juadah menampan deria

“Jangan bergalang senduk periuk

kelak rezeki tak mahu masuk”

tandanya sayang

bukan tanda benci.

Tiada cinta

sesuci

sedalam

setulus

semulus

kasihnya bonda

pada anaknya.

“Kalau sudah galak mahu berlaki

berhenti saja dari mengaji.” 

Leteran bonda

sering saja

mendodoi inang rinduku,

sesayup-sayup titian

kejauhan ini

bergema

“leteran bonda!”.

Add comment Mac 22, 2008

Sanggul Kenangan

ibu

ligat

menumis di dapur

keringat menitis di dahi

gambaran

tulen

kasihnya.

ayah

membanting tulang empat kerat

mencari rezeki

buat membeli beras

setibanya kepulanganku nanti.

kakak

merenung ke luar

melihat kanak-kanak bermain

terkenang adik seorang

yang jauh di rantauan.

bagaimana seorang kanak-kanak

bertatih

terjatuh

dan terjatuh

bangun dan kembali

sambil menangis.

“Kakak

ibu marah

ayah marah

adik minta duit

untuk beli basikal

aiskrim tumpah di jalanan

disapu debu;

dilumuri pasir.”

“Ayah tiada duit

kita orang susah

bukan orang senang

seperti yang lain.”

abang

menanti

kedatangan

ahli keluarga baru

tangisan

bakal bergema lagi

memenuhi segenap rumah

kali ini

berbaur kegembiraan.

dia

budak ini

bakal bertatih lagi

dan mengenal erti kesengsaraan.

Dari

jerih

perih,

rintih,

pedih,

penderitaan

dia akan membina kehidupan

seperti telah kami lalui

sewaktu epilog lama

kisah silam

yang kini termuat dalam

album

sanggul

kenangan.

Add comment Mac 14, 2008

Previous Posts

Pages

Categories

Links

Meta

Calendar

November 2009
I S R K J S A
« Okt    
 1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
30  

Posts by Month

Posts by Category