Archive for Mac, 2008




Leteran Bonda

Leteran bonda (Untuk kakakku yang kerap dileteri ibu)

Leteran bonda

berzapin lagi;

waktu berlaga tudung periuk

“Anak dara kalau selalu menyanyi di dapur

nanti bersuami lelaki tua.”

zahirnya panas gunung berapi

batinnya sedingin salji.

Leteran bonda

berdikir lagi;

tika menanak nasi

“Yang kau masak ini lembik

apa kau mahu buat bubur?”

di bawah telapak kakinya

diamnya syurga

setitis air matanya

menempah neraka.

Leteran bonda

bergamelan lagi;

masa juadah menampan deria

“Jangan bergalang senduk periuk

kelak rezeki tak mahu masuk”

tandanya sayang

bukan tanda benci.

Tiada cinta

sesuci

sedalam

setulus

semulus

kasihnya bonda

pada anaknya.

“Kalau sudah galak mahu berlaki

berhenti saja dari mengaji.” 

Leteran bonda

sering saja

mendodoi inang rinduku,

sesayup-sayup titian

kejauhan ini

bergema

“leteran bonda!”.

Add comment Mac 22, 2008

Leteran ibu

ibuku berleter lagi.

sebabnya?

aku telah menghabiskan wang untuk membeli cenderamata untuk ahli keluarga.

itulah ibu. sudah dapat hadiah pun mahu diberinya kita hadiah. berupa leteran =)

Add comment Mac 20, 2008

Sanggul Kenangan

ibu

ligat

menumis di dapur

keringat menitis di dahi

gambaran

tulen

kasihnya.

ayah

membanting tulang empat kerat

mencari rezeki

buat membeli beras

setibanya kepulanganku nanti.

kakak

merenung ke luar

melihat kanak-kanak bermain

terkenang adik seorang

yang jauh di rantauan.

bagaimana seorang kanak-kanak

bertatih

terjatuh

dan terjatuh

bangun dan kembali

sambil menangis.

“Kakak

ibu marah

ayah marah

adik minta duit

untuk beli basikal

aiskrim tumpah di jalanan

disapu debu;

dilumuri pasir.”

“Ayah tiada duit

kita orang susah

bukan orang senang

seperti yang lain.”

abang

menanti

kedatangan

ahli keluarga baru

tangisan

bakal bergema lagi

memenuhi segenap rumah

kali ini

berbaur kegembiraan.

dia

budak ini

bakal bertatih lagi

dan mengenal erti kesengsaraan.

Dari

jerih

perih,

rintih,

pedih,

penderitaan

dia akan membina kehidupan

seperti telah kami lalui

sewaktu epilog lama

kisah silam

yang kini termuat dalam

album

sanggul

kenangan.

Add comment Mac 14, 2008

Sha Na Na by Amy Mastura

Sha Na Na

“Why Is That?”

“Why Is That?”

Please don’t ask me.

“Where to go?”

“Where it’s held?”

It makes no difference.

My heart filled with joy;

glittering like sunshine.

This weekend

is just meant for joy.

C/O Let’s get rid

out of prejudice (hesitation), grief and sorrow

together, we sing the song

‘Sha Na Na’

Tomorrow is the working day

so today

we meet

with whom

that we love the most.

Escape from all grief and sorrow

Let us enjoy 

with the song of

‘Sha Na Na’

Na na na na na na na na na na na

She (he) who  I love the most… Ouch…!

Add comment Mac 14, 2008

Tanah Serendah Sekebun Bunga

Tanah Serendah Sekebun Bunga

barangkali bonda Saadong menangis
sambil sumbing tersenyum
terkenangkan ayahanda Abdullah
yang ditusuk cucuk sanggul
bukan adinda tidak sayang,
namun apakan daya kekanda curang.

kalau bonda Wan Kembang masih ada
barangkali diutus seratus kijang emas
ke seluruh ceruk kampung dan kota
petanda restu dan doa
daulat untuk rakyat dari istana.

aku yang jauh
menyatukan hangat air mata dan dingin salji
dalam sujud sarat syukur melimpah rindu

tanah serendah sekebun bunga,
aku yang jauh diamuk cinta
mau lekas didakapmu
mengucup hamparanmu.

adibah abdullah
pasca keputusan Pilihanraya Umum ke-12
8 Mac 2008

Add comment Mac 14, 2008

Lost BUT NOT found

LOST BUT NOT FOUND

Puisi

1. Bicara Taman (2004)

*2. Unknown 1 (2006)

3. 31 Swallows (2002)

Cerpen

1. Safiah (2001)

*2. Unknown 2 (2004) untuk Pertandingan Menulis Cerpen Angkasa Peringkat Nasional 2004 DBP-Planetarium Negara

Searching…

1. Mawar Kasturi

2. Antologi Puisi Indera Episod 1

#3. Antologi Puisi Indera Episod 2

In The Making…

1. Cerpen ‘Hadiah Dari Langit’ / ‘A Gift From Heaven’ untuk Sayembara Cerpen GKLN 2008

Siap & telah dihantar

2. Remake cerpen ‘Safiah’

3. Alih bahasa puisi ‘Butterflies’ Voice’

4. Esei ‘Ill in The Blackwater Lightship By Colm Toibin’

5. Presentation ‘Family & Community’

6. Pantun Kelip-kelip

*Lupa judulnya

#Tidak pasti kewujudannya

Add comment Mac 14, 2008

Puji

Setelah mendapat pujian yang menggunung tinggi dari rakan-rakan yang tidak senegara untuk puisi We Believe In Something / Kita Percaya Sesuatu, aku mendapat pujian pula dari saudara Fahd Razy untuk puisi Syurga Merpati Putih yang juga tersiar di dalam edisi Gema Mukminin yang terbaru. Begitu memeranjatkan!

 Dalam kelekaan berYM dengan saudara Fahd Razy, terkeluar pula kisah lama tentang cerpen pertamaku berjudul ‘Safiah‘. Bagiku, salah satu keistimewaan cerpen ‘Safiah‘ ialah lirik ‘Ulik Mayang’ yang terkandung dalamnya. Kenapa? Sebabnya, cerpen ini masih mengekalkan warisan dan khazanah budaya menerusi lirik lagu tersebut. Malangnya, cerpen tersebut telah hilang dalam simpananku. Perbualan aku sejenak bersama beliau telah membangkitkan semangatku untuk menulis kembali cerpen tersebut dengan sentuhan baru… hmm…

Oh, ya! Malam ini aku bakal ke Dublin untuk bertemu dengan teman-teman lama. Wah, tidak tergambar rasanya.

Keberangkatan aku ke Dublin ini juga membawa visi yang lain. Ku mencari bahan sejenak… =)

Add comment Mac 14, 2008

Warna

warna (untuk kenalan yang tidak kuketahui namanya =)

seorang teman menunjukkan sekeping kertas
tidak ada apa-apa yang tertulis di atas kertas itu
yang ada hanyalah garisan-garisan hitam
di atas sekeping kertas putih
yang kosong
katanya: “itulah makna persahabatan”
dan katanya lagi: “jangan lihat pada kertas itu,
tapi lihatlah pada warnanya”
aku tidak dapat memahami dia
adakah hitam dan putih itu
(masih) merupakan
satu bentuk warna?
begini kisahnya:
ketika kaumelihat ke jendela
pagi yang murni
matamu menangkap serpihan awan
merah, kuning, jingga, biru, hijau dan unggu
menjadi satu
bangkit bersama-samanya sinar harapan.
perlahan-perlahan sinar itu menjadi semakin cerah
di tengah hari
tapi tidakkah kausedar
warnanya semakin pudar
di sebalik kilauan yang kian menyengat?
kemudian
hari yang berwarna-warni kian menjadi gelap
hati tertanya adakah sinar harapan
(kian) hilang ditelan kegelapan.
kata mereka
tanpa warna
kamu tidak bisa melihat
(padahal sesetengah dari mereka
tidak bisa melihat
gabungan hitam dan putih
dan sesetengah yang lain pula
tidak bisa melihat hitam dan putih
sebagai warna yang asing).
namun di sebalik kehitaman
(yang kian suram itu)
terpancar kedamaian
yang terselit di celahan awan
yang tidak kelihatan warnanya
(seperti air
yang mengalir dingin
tanpa warna).
seperti itu apabila hati tidak dipenuhi
warna
manusia tidak bisa melihat juga.
pernahkah kau terfikir
bagaimana Dia menjadikan
cahaya putih itu terdiri dari pelbagai warna
dan apabila kaucampurkan pelbagai warna
dalam adunan kanvasmu
ia akan menjadi hitam?
tidakkah kamu merasa tertipu
dengan warna yang kaulihat?
itu bukanlah warna yang diserap
begitulah Tuhan mengajar manusia
tentang permainan duniawi
jangan kau (ter)biasa melihat warna
tetapi lihatlah
ketulusan, kujujuran dan keindahan
yang tidak kelihatan di sebaliknya.
teman, kaumengajarku tentang warna
lalu mewarnakan kanvasmu
mengikut gerak tari jari-jemarimu
kaumelukiskan lukisan yang tidak kelihatan
dalam hamparan hidupku
dan menggubah nada-nada hari
menjadi lengang-lenggok
bicara yang indah
walau tanpa suara.
(katanya lagi:
“tidak banyak yang dapat kuceritakan
tentang warna
di atas kertas ini
(ia) hanyalah sekeping kertas yang
berwarna putih
tetapi lihatlah warna-warni di dalamnya
dengan mata hati”).
warna dalah inspirasi
warna adalah aspirasi
hubungan yang tidak bernama
di atas citra cita dan cinta
kehidupan.
khairul azhar,
11 mei 2007.

Add comment Mac 11, 2008

Di Sebalik (Bicara Mimpi)

(Di Sebalik) Bicara Mimpi… 

Bisakah kau bermimpi

Malam (yang/nan) indah

(dan) menganyam lena

(di) peraduan yang basah? 

Mimpi mendakap bintang

Dan meramas awan

yang tersulam

menjadi permaidani ungu

Gurindam tidur malammu 

Bertaut antara dua syurga

Mengintai antara dua hijab dunia

Mimpi bisa membutakan neraka menjadi syurga

Atau sekelip mata bertukar neraka 

Dahannya rapuh

Denai-denainya melepuh

Telah kau labuhkan sauh

Memacak sayap-sayap mimpi malammu

Namun terusan ini tidak selamanya mengalir

ke jalan (yang) tentu

dan terukir di dada nyanyian-nyanyian rindumu

adakalanya bahtera ini pecah di persimpangan

atau relai di muara kebuntuan

atau berderai di bedungan kegelapan. 

Kadangkala mimpi ini langsung tidak membenarkan aku menyentuhnya

Dan meninggalkan aku tanpa teman di alam lenaku 

Mimpi mengusir pulang

Memijak realiti

Dan perjalanan panjang

Bila kan terhenti 

Esok bertandang lagi

Ke alam mimpi

Lalu pulang kembali

Selagi belum bersua

Cinta yang dicari… 

Sejauh mana kebenaran mimpi

Hanya Dia yang mengerti

Aku berharap mimpi ini bakal mempertemukan aku dan Dia

Yang selalu kuseru dalam perbaringanku…

Add comment Mac 11, 2008

Pengemis Mimpi

Pengemis Mimpi… 

Bisakah kau bermimpi

malam nan indah

tanpa menganyam sepi di peraduan yang basah? 

Mimpi mendakap bintang

dan meramas awan yang tersulam

menjadi permaidani ungu

menjadi gaun

gurindam tidur malammu.

Bertaut antara dua syurga,

mengintai antara dua hijab dunia.

Mimpi bisa membutakan neraka menjadi syurga

atau sekelip mata bertukar neraka. 

Tidak selamanya tiupan seruling

berlagu mengirai sayap-sayap,

kejap terukir di dada nyanyian-nyanyian rindu

dedaian dahan denai mimpi malammu. 

Kadangkala mimpi ini sendiri langsung tidak membenarkan aku menyentuhnya

dan meninggalkan aku mengemis dalam lenaku. 

Kali ini; 

Mimpi mengusir pulang

memijak realiti.

Dan perjalanan panjang

bila kan terhenti.

Esok bertandang lagi

ke alam mimpi

lalu pulang kembali

selagi belum bersua

cinta yang dicari… 

(Julai/Ogos 2006)

1 comment Mac 11, 2008

Previous Posts

Pages

Categories

Links

Meta

Calendar

Mac 2008
I S R K J S A
« Feb   Apr »
 12
3456789
10111213141516
17181920212223
24252627282930
31  

Posts by Month

Posts by Category