Archive for Februari, 2008
mengenali diri sendiri- 29/02/2008
salam. kembali lagi ke alam realiti setelah lebih setengah tahun terawang-awangan di persada kayangan. setelah hampir dua semester di Galway, setelah menempuhi pebagai dugaan (yang kebanyakannya berpunca dari kesilapan dan kelemahan diri sendiri)- krisis, masalah tiket penerbangan, bagasi yang tidak dipulangkan, budaya hedonisme, keputusan peperiksaan yang tidak memuaskan, dan kemalasan tanpa batasan, aku berasa lebih matang sekarang, lebih matang dalam erti kata yang sebenarnya.
setelah meraih kematangan dalam usia yang menginjak 20 tahun ini, aku mula mengenali diri sendiri. aku kurang kesedaran bahawa selama ini salah satu rahsia penting terhadap kejayaan peribadi aku ialah …. mengenali diri sendiri.
tiada sesiapapun, sama ada yang masih hidup mahupun sudah meninggal dunia dalam dunia ini yang lebih mengenali diri kita lebih dari diri kita sendiri. mereka yang berada di sekeliling kita hanya membantu kita mengenali diri sendiri; tidak lebih daripada itu. mengenali diri membantu kita untuk mengenal pasti kelebihan dan kelemahan diri kita dan memberikan bonus untuk kita memanipulasikan kelebihan dan kelemahan diri kita tersebut untuk mencapai kejayaan mengikut cara kita sendiri.
jika diteliti kembali, pengalamanlah yang membantu aku mengenali diriku sendiri, sama ada pengalaman tersebut datang dari diri sendiri mahupun orang lain. sebut sahaja pengalamanku yang ada sepanjang berada di luar negara sama ada yang manis mahupun sebaliknya- bekerjasama melakukan tugasan dalam kumpulan dengan mereka yang tidak senegara, tidak memahami agama dan budaya kita; menganjurkan pameran 5 rukun islam untuk minggu kesedaran islam di Galway; terlibat dalam kajian teks sastera untuk subjek professionalism; sehinggalah menulis puisi untuk majlis pengkebumian mayat bukan Islam di gereja Galway- semuanya pernah kulakukan. walau bagaimanapun, aku percaya masih banyak pengalaman dalam hidup ini yang masih perlu kutempuhi. pengalaman dan ilmu yang kutimba di sini hanya satu zarah dari bongkah-bongkah air yang besar di lautan yang luas. aku harus bersedia untuk setiap saat untuk berhadapan dengan cabaran mahupun rintangan yang mendatang. aku tidak boleh mengharap yang manis-manis sahaja dalam hidup aku. aku mesti bersedia untuk yang sebaliknya. namun, walau bagaimana kecil mahupun besar pengalaman dan ilmu yang kutimba sepanjang hidup aku, aku percaya tetap ada sumbanganku untuk kesejahteraan diri sendiri dan alam sejagat.
Add comment Februari 29, 2008